mutakhir

Sorok dadah dalam pakaian dalam [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

IBU tunggal memberi alasan terpaksa keluar malam untuk bertemu empat anaknya ketika ditahan polis dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Pantai Johor, Alor Setar, malam tadi.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pada 11 malam itu, mendapati wanita berusia 28 tahun itu memiliki dadah jenis syabu dan heroin yang disembunyikan pada pakaian dalam yang dipakainya.

Dia ditahan ketika menunggang motosikal bersama rakan lelakinya berusia 32 tahun ketika dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Jalan Pegawai.

Wanita itu turut memberi alasan baru berbuka puasa di rumah keluarga teman lelakinya di Malau, Jitra, sebelum ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya merampas dua paket plastik disyaki dadah heroin dan syabu yang diserahkan wanita terbabit ketika pemeriksaan dilakukan.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati wanita terbabit positif morfin dan pasangannya mempunyai rekod lampau kes samun di Jitra.

"Bagaimanapun, lelaki itu ditahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Mohd Rozi berkata, wanita itu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Sementara itu, dalam pemeriksaan mengejut di lokasi sama, polis menahan lima lagi lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun kerana ingkar PKP.

Beliau berkata, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kukuh yang membolehkan mereka keluar pada waktu malam.

"Mereka memberi pelbagai alasan namun tidak diterima dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 11:22am
    d