mutakhir

Tiada pengurangan sewa premis, peniaga semakin tertekan

Oleh Omar Ahmad

TIDAK dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada ekonomi, terutama pendapatan peniaga yang tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh itu.

Peniaga barangan permainan kanak-kanak, Ah Siong (bukan nama sebenar), 50-an antara peniaga yang merasai kesannya apabila pemilik premis yang disewa tetap mengenakan bayaran sama walaupun tidak beroperasi.

Katanya, premis yang disewa di sebuah pusat membeli-belah itu enggan memberikan potongan sewa biarpun diminta berbuat demikian.

"Bukan saya seorang yang menderita dengan masalah ini. Kebanyakan peniaga yang menyewa premis di pusat membeli-belah itu turut berdepan masalah sama.

"Saya sendiri memohon pengurangan bayaran sewa sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu dengan pengurusan pusat membeli-belah itu, tetapi permohonan saya dibalas dengan jawapan yang tidak munasabah.

"Mereka meminta supaya membayar seperti biasa dan mereka sendiri akan potong sekiranya ada pengurangan bayaran sewa diberi.

"Bagaimana saya mahu membayar sewa sedangkan tujuh kedai tidak boleh beroperasi dan tiada pengunjung," katanya ketika ditemui di pejabat Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Ah Siong, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permasalahan peniaga sepertinya yang juga terpaksa membayar gaji pekerja atas dasar tanggungjawab.

"Bantulah kami kurangkan kadar sewa premis, kalau semua orang rugi kami juga alami masalah sama. Saya harap kerajaan akan membantu dan memberi situasi menang-menang supaya peniaga seperti kami tidak muflis.

Sementara itu, Micheal Tay berkata, sepatutnya semua pihak perlu bertimbang rasa kerana ketika ini rakyat juga berdepan situasi sukar.

"Sekiranya aliran tunai peniaga dilonggarkan dengan pengurangan kadar sewa bulanan sehingga bulan Jun, ia akan mengelakkan perniagaan menjadi lebih teruk," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 12:53pm
    d