mutakhir

Fuziah didakwa sebar berita palsu, esok

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor esok berhubung penyebaran berita palsu menerusi hantaran di laman Facebook (FB) miliknya.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman mendapat kebenaran untuk menuduh Fuziah jam 8.30 pagi.

Sebelum ini polis sudah merakam keterangan beliau berhubung rakaman video orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru yang dimuat naik menerusi akaun FB miliknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya turut merampas gajet yang digunakan untuk memuat naik video dan kenyataan berkenaan.

"Pada 10 April lalu, polis menjalankan siasatan berhubung satu kenyataan dan video yang dimuat naik Fuziah di FB.

"Pengarah Jabatan Imigresen Johor sudah menafikan perkara berkenaan sebelum memuat laporan polis berhubung perkara berkenaan," katanya.

Siasatan diklasifikasi mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Setakat 25 April lalu, sebanyak 238 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Daripada jumlah itu, 170 masih dalam siasatan, 24 kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 13 mengaku bersalah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 12:57pm
    d