mutakhir

PKP: Mengaku bawa teksi tanpa kebenaran

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PEMANDU teksi warga emas dihukum penjara empat hari serta denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini selepas mengaku bersalah memandu teksi tanpa kebenaran sekaligus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , Sabtu lalu.

Tertuduh, Lay Kow Chai @ Lai Kon Min, 73, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang ketika itu sedang membawa teksi ditahan di sekatan jalan raya Jalan Jaya Setia, Sungai Siput pada 1.40 tengah hari 25 April lalu, ditahan selepas gagal mengemukakan alasan munasabah berhubung tujuannya berada di luar ketika PKP berkuatkuasa di samping tiada kebenaran untuk bergerak.

Tertuduh juga didapati dalam keadaan mencurigakan memberikan alasan mahu menghantar makanan menggunakan teksi dipandunya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati tiada makanan dalam teksi terbabit.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Nurul Hanis Mohd Zaini mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Nurul Hanis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan faktor umur tertuduh berusia senja di samping masalah kesihatan yang dialami susulan menghidapi sakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis.

Selain itu Nurul Hanis berkata, ianya adalah kesalahan pertama tertuduh dibicarakan di mahkamah selain pendapatan tertuduh sebagai pemandu teksi hanya kira-kira RM1,000 sebulan.

Majistret kemudiannya menetapkanhukuman penjara empat hari bermula dari tarikh tangkapan tertuduh serta denda RM1,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda terbabit hari ini.

Sementara itu, Chung Hwei berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap dari Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) bagi mendakwa tertutuduh atas satu pertuduhan lain membabitkan kesalahan memiliki bersama rokok seludup.

Ahad lalu, media melaporkan tertuduh ditahan selepas pemeriksaan ke atas teksi dipandunya menemukan lebih 200 kotak rokok tanpa label percukaian dari JKDM ketika tertuduh melakukan kesalahan melanggar PKP yang menyebabkan pertuduhan terhadapnya hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 1:44pm
    d