mutakhir

Tempahan baju raya kurang 60 peratus

Oleh Yun Mikail

"ADA pelanggan membatalkan tempahan kerana faktor kewangan dan tidak dapat hantar kain untuk dijahit disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," kata tukang jahit, Fatin Syahirah Mohd Saufee, 27.

Fatin Syahirah berkata, sejak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu, dia menganggarkan jumlah pendapatan bagi tempahan baju raya tahun ini menurun sebanyak 60 peratus berbanding tahun lalu.

"Tahun ini saya hanya menerima 25 pasang baju raya dan itu semua ditempah sebelum kerajaan menguatkuasakan PKP.

"Ramai pelanggan yang membatalkan tempahan adalah yang belum menghantar kain untuk dijahit," katanya aktif dalam bidang jahitan sejak empat tahun lalu.

Fatin Syahirah berkata, penutupan kedai menjual peralatan jahitan turut menjejaskan proses menyiapkan tempahan baju raya pelanggan berikutan kesukaran mendapatkan barangan keperluan jahitan.

Menurutnya, dia terpaksa membeli keperluan jahitan secara pembelian atas talian dan terpaksa menunggu hingga seminggu untuk mendapatkan barangan yang dibeli.

"Hal ini secara tidak langsung melambatkan proses menjahit kerana saya tiada barang yang diperlukan dan banyak masa terbuang sementara menunggu barang dibeli tiba selain jangkaan masa untuk menyiapkan setiap baju pelanggan juga tersasar.

"Selain itu, kualiti barang juga berbeza berbanding keperluan yang saya beli sendiri di kedai jahitan.

"Ia boleh menjejaskan kualiti jahitan saya kerana pelanggan pasti akan melihatnya setiap kali membuat tempahan," kata wanita berasal daripada daerah Kuala Penyu itu.

Memfokuskan jahitan baju kurung moden dan asli, Fatin Syahirah berkata dia menjangkakan dapat menyiapkan serta menghantar semua baju raya pelanggannya dalam jangka masa terdekat berikutan hampir 80 peratus tempahan sudah disiapkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 2:50pm
    d