mutakhir

Kes 'scammer' meningkat semasa PKP

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SINDIKET penipuan kewangan semakin aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tempoh PKP ini sama sekali tidak menghalang 'scammer' berkenaan mencari mangsa terbarunya.

Terdapat tiga sindiket popular di kalangan masyarakat iaitu penipuan melalui telefon atau lebih dikenali sebagai Macau Scam, Penipuan Pinjaman Bank dan Penipuan SMS.

Walaupun, Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penguatkuasaan seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) giat menjalankan kempen kesedaran mengenai penipuan kewangan, namun masih ada lagi orang awam menjadi mangsa penipuan ini.

Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff berkata, sejak bermulanya PKP pada 18 Mac lalu, BNM TeleLINK menerima lebih 1,100 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan kewangan.

Katanya, angka itu jauh lebih tinggi daripada angka direkodkan sebelum PKP.

"Kami dapati sepanjang PKP ini, terdapat banyak pinjaman ditawarkan di platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat dan ini dipanggil Penipuan Pinjaman Bank.

"Sebenarnya, sindiket ini masih aktif bukan sahaja menggunakan pendekatan melalui panggilan telefon, malah mereka mendekati mangsa secara dalam talian menawarkan pertolongan untuk membantu memperoleh pinjaman.

"Permohonan pinjaman sepatutnya dilakukan di institusi yang berlesen seperti bank dan pemberi pinjaman wang berlesen.

"Jangan membuat permohonan pinjaman melalui media sosial. Sekiranya ingin memohon pinjaman, anda tidak perlu membayar terlebih dahulu atau membuat bayaran pendahuluan (bayaran muka) untuk mendapatkan pinjaman terbabit.

"Malah, jangan percaya jika mereka (atau pihak ketiga) mengemukakan surat atau sijil dengan logo atau nama BNM untuk mendapat kepercayaan anda," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Arlina berkata, orang ramai jangan mudah panik dan mendedahkan maklumat peribadi kepada orang lain walaupun mereka menyamar sebagai polis, kastam, pegawai bank, pegawai mahkamah atau sebagainya.

Menurutnya, jika berasa was-was terus hubungi pihak bank kerana semua pusat panggilan dibuka sepanjang PKP ini.

"Terbaharu, ada kes seorang cikgu mengalami kerugian sehingga RM300,000 akibat memberi kod pengesahan transaksi (TAC) dan nombor pengenalan peribadi (PIN).

"Kita tidak mahu perkara ini berulang dan tolong berwaspada, jika boleh tamatkan panggilan atau terus abaikan permintaan yang meragukan," katanya.

Beliau berkata, BNM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia akan terus aktif memberi kesedaran kepada masyarakat bagi membanteras sindiket penipuan kewangan ini.

BNM juga akan menyiarkan amaran penipuan kewangan di platform media sosialnya termasuk Facebook dan Twitter.

Orang boleh menghubungi BNMTELELINK di 1-300-88-5465 dari Isnin hingga Jumaat (9 pagi hingga 5 petang) atau menghantar e-mel melalui borang yang terdapat di laman sesawang BNM iaitu https://telelink.bnm.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 4:00pm
    d