mutakhir

Cipta sejarah rai persaraan dalam talian

Oleh Nazri Abu Bakar

MAJLIS persaraan Pengarah Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) Rosli Hamid tetap meriah walaupun diadakan secara dalam talian, semalam bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah (Akademik) PMM, Rosita Zainal berkata, majlis persaraan dalam talian itu dilaksanakan buat pertama kali dalam sejarah dilaksanakan PMM selepas tiada sebarang perhimpunan susulan pandemik Covid-19.

"Majlis sungguh bermakna kerana peserta majlis bukan sahaja dari Melaka, malah dari luar Melaka termasuk pengacara majlis berada di Kuantan, Pahang.

"Pada majlis itu, lebih 35 pengurusan PMM termasuk beberapa staf lain menyertai program dari rumah masing-masing dengan beberapa pengisian seperti tayangan video kenangan serta ucapan," katanya.

Menurutnya, pada akhir majlis, semua peserta menunjukkan kertas bertulis selamat bersara pada skrin yang penuh simbolik sebagai penghargaan di atas jasa dan pengorbanannya bertugas di PMM sebelum ini.

Rosli bersara wajib selepas 36 tahun berkhidmat di 11 institusi awam termasuk di PMM sejak Julai 2018.

Turut diraikan dalam majlis terbabit Ketua Unit Jaminan Kualiti PMM, Sariati Dalib.

Sementara itu, Rosli mengakui terharu dengan inisiatif ditunjukkan kakitangan PMM untuk mencari alternatif meraikan majlis persaraannya.

"Saya dikejutkan dengan penghantaran sebiji kek ke rumah ketika majlis sedang berlangsung secara dalam talian.

"Ini bermakna penganjur menggunakan sebaik mungkin kemudahan disediakan kerajaan ketika PKP ini dan melakukan perancangan teliti.

"Walaupun sedikit terkilan kerana tidak dapat berjumpa secara bersemuka dengan semua warga PMM berikutan PKP, namun saya amat menghargai usaha ini," katanya yang menetap di Duyong, Melaka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 4:26pm
    d