mutakhir

MRA sedia hulurkan bantuan kemanusiaan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIAN Relief Agency (MRA) bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan di seluruh negara terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata bagi MRA, pengalaman hampir sedekad menguruskan bantuan kemanusiaan di lapangan nasional dan antarabangsa, menjadikan pihaknya cukup bersedia dari segenap sudut perancangan dan bantuan.

Katanya, kehadiran MRA di kawasan Borneo (Sabah, Sarawak dan Labuan) melengkapkan pengurusan bantuan kemanusiaan di seluruh negara.

"Di negeri Sabah sahaja, sepanjang tiga fasa PKP dilaksanakan, kumpulan sukarelawan MRA berjaya menghulurkan lebih 1,500 pek makanan asas yang diberikan secara khusus kepada penduduk yang terjejas dan sukar diakses seperti di pedalaman Tambunan, Beaufort, Ranau Sabah , kawasan berisiko tinggi (Zon Merah) di Tawau serta bantuan di Pek makanan di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Selain itu, MRA Sabah juga berjaya menjejak dan membantu kumpulan miskin bandar di sekitar Kota Kinabalu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, melalui usaha MRA dan badan korporat seperti The Edge, Mr DIY Group Trading menghantar bantuan sokongan perubatan bagi kegunaan hospital di seluruh Sabah.

"Penghantaran bantuan dari penerbangan Ihsan Tentera Udara Malaysia (TUDM), sebanyak 143,000 keping topeng muka, 3,000 set peralatan perlindungan diri dan 20 set mesin Ventilator juga berjaya dihantar kepada hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memerlukan.

"Bagi negeri Sarawak pula, walaupun MRA Sarawak baru sahaja ditubuhkan, namun kumpulan sukarelawan di sana cukup aktif melaksanakan khidmat kemanusiaan dengan menyantuni kumpulan perantau di bandaraya Kuching dan daerah lain yang tidak dapat bergerak ke pedalaman.

"Sebanyak 200 pek makanan asas telah diedarkan kepada golongan yang terjejas meliputi bandaraya Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sibu," katanya.

PKP masih lagi diteruskan, usaha yang digerakkan harus berjalan seperti biasa, sehingga hari ini MRA Borneo (Sabah, Sarawak, Labuan) masih mengekalkan momentum bantuan kemanusiaan melalui fasa baru dan misi bantuan Ramadan.

"Pastinya masih ramai lagi rakyat yang terkesan dan memerlukan bantuan. Semoga kita terus kuat dan menang menghadapi cabaran ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 4:47pm
    d