mutakhir

Perlu ikut SOP untuk lanjut operasi

Oleh Nur Izzati Mohamad

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meminta syarikat pembuatan yang ingin membuat permohonan bagi melanjutkan waktu operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mematuhi tiga langkah yang sudah ditetapkan.

Tiga langkah berkenaan adalah mengisi borang permohonan kebenaran beroperasi serta pergerakan pekerja bagi syarikat dalam tempoh PKP, menyertakan surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan e-mel surat iringan bersama borang permohonan serta surat kelulusan itu kepada datukbandar@mbsp.gov.my.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud berkata tiga langkah itu adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan pihaknya sebelum membuat keputusan memberi kelulusan kepada syarikat pembuatan yang sebelum itu beroperasi secara sistem syif melanjutkan waktu operasi mereka.

"Pada Jumaat lalu, MITI membuat keputusan supaya lanjutan waktu operasi bagi syarikat pembuatan harus dirujuk kepada PBT masing-masing.

"Oleh itu, MBSP menyediakan SOP sementara diikuti dengan SOP rasmi bagi membantu syarikat pembuatan mengemukakan permohonan dengan mengikuti tiga langkah yang ditetapkan," katanya pada sidang media yang diadakan secara siaran langsung menerusi Facebook MBSP, di Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam pada itu, Rozali berkata permohonan yang dihantar akan diproses dan keputusan akan dimaklumkan melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja

"Tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan SOP dan syarat pematuhan MBSP adalah di atas syarikat pembuatan yang membuat permohonan.

"Sehingga kini, MBSP menerima 112 permohonan yang mana 89 syarikat sudah diberi kelulusan manakala 18 dalam proses dan lima lagi permohonan didapati tidak lengkap," katanya.

Jelasnya, MBSP juga mengenakan syarat pematuhan dan keselamatan perkerja yang perlu diikuti setiap syarikat yang mendapat kelulusan lanjutan waktu operasi.

MITI sebelum ini memberi kebenaran kepada semua syarikat pembuatan yang mendapat kelulusan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam sepanjang PKP.

Bagaimanapun, bagi syarikat pembuatan khususnya sebelum ini yang beroperasi dengan sistem syif perlu membuat permohonan lanjutan waktu mengikut PBT masing-masing supaya dibenarkan menjalankan operasi di luar waktu yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 5:26pm
    d