mutakhir

Nak pujuk isteri sampai bawa kawan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memujuk isteri di rumah mentua dihukum penjara tiga hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Selain tertuduh, Mohamad Hafiz Rizal Aziz, 27, dua rakannya iaitu Muhammad Nasriq Alwi, 22 dan Noor Adam Bukhari Mohamad Anuar, 25, yang ditahan bersama, turut dikenakan hukuman sama.

Malah, tiga sahabat itu berdepan hukuman penjara satu bulan lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bergerak menaiki Perodua Myvi di tepi Jalan Losong Haji Mat Shafie dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu pada jam 11.50 malam semalam.

Terdahulu, Mohamad Hafiz Rizal mengaku melakukan kesalahan itu kerana mahu memujuk isterinya supaya pulang ke rumah, selepas mereka berselisih faham sebelum ini.

Sementara dua rakannya mendakwa hanya menemani Mohamad Hafiz Rizal.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman lima hari penjara dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda kerana mengaku salah melanggar PKP pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Rosli Mohd Nor, 35, mengaku melakukan kesalahan itu ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk menyerahkan duit hasil menjual dadah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rosli dari Kampung Kubang Parit mengaku bergerak di tepi jalan Durian Burung pada 11.30 malam, 25 April lalu.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bagi kesemua tertuduh bermula daripada tarikh masing-masing ditangkap.

Pendakwaan semua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yuhanis Mohd Roslan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Asaari Salleh.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 5:59pm
    d