mutakhir

Agong perkenan langkah MITI

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong usaha dan langkah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam mengimbangi kesihatan rakyat dan pada masa sama bertanggungjawab menangani kesan kepada ekonomi negara.

Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Menteri Kanan MITI Datuk Seri Azmin Ali menerusi sidang video di Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi video berlangsung selama 30 minit dari jam 3 petang itu, Seri Paduka berkenan mengambil maklum peranan MITI dan langkah dilaksanakan oleh kementerian terbabit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19 bermula 18 Mac lalu.

"Sesi hari ini turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka terhadap langkah diputuskan dan dilaksanakan kerajaan untuk kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan sokongan terhadap langkah berkenaan, khususnya usaha memastikan bekalan makanan dan keperluan asas untuk rakyat mencukupi dan tidak terputus sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Menurutnya, Seri Paduka turut berkenan mengambil maklum dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak Covid-19 ke atas ekonomi dan pasaran buruh yang diterajui bersama MITI dan Kementerian Pertahanan.

"Al-Sultan Abdullah amat menghargai keputusan terbabit kerana kerajaan perlu menangani kesan Covid-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka juga amat prihatin terhadap impak Covid-19 kepada kedudukan dan prestasi ekonomi susulan dari pelaksanaan PKP yang menyebabkan banyak sektor pembuatan dan perkhidmatan tidak beroperasi termasuk kepada industri kecil dan sederhana (IKS) serta nasib pekerja di negara ini.

Beliau berkata, baginda menyeru kepada semua untuk terus bersabar dan tabah mengharungi situasi sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Majlis menghadap menerusi sidang video hari ini adalah sesi ketiga diadakan bersama menteri kabinet semasa PKP selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 8:17pm
    d