mutakhir

Pelabuhan dibuka untuk aktiviti import, eksport kuatkuasa esok

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KEMENTERIAN Pengangkutan mengarahkan pengendali pelabuhan seluruh negara supaya membenarkan mana-mana syarikat yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengikut polisi Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan aktiviti import dan eksport, berkuatkuasa esok.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia selari dengan keputusan kerajaan yang bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi bagi memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan kembali bangkit selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Walau bagaimanapun, katanya, syarikat yang mendapat kelulusan beroperasi haruslah mematuhi garis panduan ketat demi menjamin kesihatan dan keselamatan pekerja seperti mempraktikkan jarak sosial dan menitikberatkan soal kebersihan.

"Syarat ini turut dikenakan kepada mereka yang terbabit dengan aktiviti import dan eksport bagi kedua-dua jenis barangan keperluan penting dan tidak penting di pelabuhan yang akan dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.

"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan semasa pandemik Covid-19 untuk menentukan sama ada membenarkan penyambungan semula semua sektor ekonomi dan subsektor lain mengikut ketetapan MKN," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, baru-baru ini kementeriannya sudah membenarkan kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan utama negara bagi Fasa Keempat, bermula 20 hingga 23 April lalu.

Katanya, pelabuhan yang terbabit seperti Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Labuan serta pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak berjaya mengalihkan kontena yang sesak dengan cepat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kesihatan yang termaktub di bawah peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi prestasi pengendalian kontena import, terdapat beberapa pelabuhan yang mencatatkan prestasi pengendalian yang baik dan lancar berdasarkan kepada kadar kapasiti penggunaan lapangan kontena antara 20 hingga 50 peratus seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Kuantan, Bintulu, Labuan, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan. Sementara Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Utara dan Tawau pula mencatatkan kadar kapasiti 50 hingga 60 peratus.

"Pelabuhan Barat dan Tanjung Bruas pula mencatatkan kadar penggunaan lapangan kontena melebihi 70 peratus.

"Bagi prestasi pengendalian kontena eksport, Pelabuhan Pasir Gudang, Kuantan, Labuan, Sibu dan Sandakan mencatatkan kesesakan bawah 50 peratus. Pelabuhan Barat berada di antara 50 hingga 60 peratus, sementara pelabuhan Tanjung Bruas dan Miri pula melebihi 70 peratus," katanya.

Ka Siong berkata, berdasarkan pencapaian itu, terdapat perbezaan kadar penggunaan lapangan dan pengendalian kontena eksport antara pelabuhan yang mungkin dipengaruhi faktor jumlah pengeluaran daripada kilang untuk dieksport yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya sepanjang PKP.

Katanya, kementeriannya akan terus memantau keadaan semasa berkaitan logistik dan pengangkutan yang mempengaruhi syarikat dalam tempoh PKP dan akan mengesyorkan polisi yang berupaya mengurangkan implikasi ekonomi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 9:42pm
    d