mutakhir

Pemain bola sepak seronok jadi penghantar makanan

Oleh Redzuan Muharam

KEINGINAN menimba pengalaman dan mengisi masa lapang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong pemain bola sepak pasukan Belia Selangor bawah 19 tahun (U19) melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Muhammad Danial berkata, pekerjaan itu dilakukan sejak 1 Ramadan lalu dan skop tugasannya adalah menghantar Roti John pesanan pelanggan di sekitar kawasan Puchong, Selangor.

Menurutnya, meskipun kali pertama bekerja sebagai penghantar makanan, pengalaman ditimba amat menyeronokkan kerana membolehkannya bertemu dengan pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

"Disebabkan PKP, saya tidak dapat menjalani latihan di padang seperti biasa jadi hanya bermain bola sepak sendiri serta melakukan aktiviti regangan di rumah.

"Lama-kelamaan, timbul rasa bosan dan disebabkan itu saya tawarkan diri bekerja sebagai penghantar makanan dengan rakan yang kebetulan menjalankan perniagaan menjual Roti John sepanjang Ramadan.

"Mulanya, keluarga risau kerana saya tidak pernah melakukan pekerjaan itu tetapi akhirnya memahami niat saya yang mahu menimba pengalaman dan mencari duit poket," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Danial berkata, dia bekerja bermula jam 4 hingga 6.30 petang.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, setakat ini, tugasannya berjalan lancar walaupun dalam keadaan cuaca hujan lebat sejak kebelakangan ini.

"Kebiasaannya saya akan pulang ke rumah sebelum berbuka puasa. Namun, hujan lebat petang kelmarin menyebabkan saya tiba lewat di rumah tetapi itulah cabarannya sebagai penghantar makanan.

"Walaupun baru beberapa hari bekerja, saya mula rasa seronok bertemu pelanggan malah ada antara mereka turut memberi upah tambahan kerana menghantar makanan," katanya yang bermain di posisi penyerang.

Muhammad Danial berkata, dia tidak sangka kisahnya itu mendapat perhatian dan berterima kasih kepada rakan yang memberi sokongan menerusi perkongsian gambar di laman sosial.

"Selain keluarga, rakan sepasukan antara mereka yang banyak memberi dorongan untuk melakukan pekerjaan ini. Mereka turut memberi nasihat dan saya bercadang melakukan pekerjaan ini sehingga akhir Ramadan.

"Selepas PKP, saya akan teruskan bermain bola sepak seperti biasa tetapi ada juga perancangan menyambung pengajian dalam jurusan Sains Sukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 1:45pm
    d