mutakhir

Tiada kenaikan harga mendadak

Oleh Mohamed Farid Noh

TIADA kenaikan harga barangan secara mendadak termasuk makanan dikesan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, perkara itu hasil laporan pemeriksaan di lapangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor.

Beliau berkata, bagi memastikan barangan keperluan asas semasa mencukupi dan tidak berlaku kenaikan harga mendadak ketika PKP, KPDNHEP Johor akan terus menjalankan pemeriksaan khas terhadap barang keperluan asas di seluruh Johor.

"Sehingga semalam, sebanyak 2,772 premis diperiksa merangkumi 2,335 peruncit, 283 pemborong serta 85 pengilang dan mendapati barangan keperluan adalah mencukupi.

"Selain memantau bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum, pemeriksaan khas ini turut memberi tumpuan ke barangan keperluan asas seperti barang kering, barang segar, barangan sedia bungkus, minuman dan barangan keperluan lain.

"Antara contoh barangan yang diperiksa termasuk beras, roti, susu tepung, sardin, biskut, mi segera, ayam segar, telur ayam, kopi, teh, sayur, topeng muka, cecair pembasmi kuman, tisu tandas, lampin bayi, ubat selain barang-barang lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 atas kesalahan mencatut sekiranya peniaga didapati melakukan kesalahan menaikkan harga barangan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Johor akan membatalkan kebenaran beroperasi sektor dibenarkan beroperasi serta merta selain dikenakan tindakan undang- undang, jika mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Apatah lagi, bermula hari ini industri yang menerima kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dibenarkan untuk beroperasi tanpa sekatan.

"Namun kerajaan negeri memberi amaran kepada majikan untuk sentiasa memastikan pekerja mereka mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama dalam menjaga jarak jika tidak mahu kebenaran ditarik semula berikutan operasi pemantauan akan dilakukan secara mengejut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 3:18pm
    d