mutakhir

653 penuntut zon utara, 280 Sarawak dihantar pulang [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan menghantar pulang 653 penuntut di zon utara ke kampung halaman di zon sama mulai hari ini dan esok.

Penghantaran itu juga membabitkan 280 pelajar di zon Sarawak ke kampung halaman di zon bagi tempoh sama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi pergerakan pelajar dalam zon utara, ia membabitkan 44 bas bagi pergerakan dalam negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Politeknik dan institusi pengajian tinggi swasta di zon utara akan bertolak pada jam 2 petang, manakala dari Universiti Sains Malaysia (USM) akan bertolak pada jam 9 malam ini.

Katanya, perubahan waktu bertolak kepada 2 petang dibuat bagi membolehkan mereka sampai ke kediaman sebelum waktu berbuka.

"Sebelum ini kita tetapkan mereka bertolak jam 9 malam dan sampai 9 pagi, tapi hari ini 2 petang oleh kerana jaraknya dekat.

"Untuk memudahkan ibu bapa mereka mengambil di balai polis atau petugas barisan depan menghantar mereka, sebab itulah kita buat ketetapan ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, ada dua pergerakan dalaman bagi Sarawak yang akan bermula hari ini dan esok.

"Hari ini seramai 42 pelajar di Sarawak dihantar pulang ke rumah masing-masing membabitkan dua bas dan van. Mereka sudah bertolak mulai jam 9 pagi tadi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 828 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 637,982 kenderaan.

Katanya, pihak berkuasa turut melakukan 37,753 pemeriksaan mengejut di seluruh negara selain 6,669 premis diperiksa.

"PDRM menangkap 643 individu berbanding 489 individu hari sebelumnya kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan, merangkumi 576 individu yang direman dan 67 individu dijamin polis.

"Seramai 947 individu juga sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan ingkar PKP. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 28 April sebanyak 21,749 individu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 3:22pm
    d