mutakhir

Pelaksanaan kursus pra perkahwinan selepas PKP sedang diteliti

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) sedang meneliti pelaksanaan kursus pra perkahwinan (KPPI) selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi soalan lazim mengenai KPPI yang dimuat naik di Facebook rasmi jabatan itu, JAIS berkata, cara pelaksanaan akan mengambil kira saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana semua pihak perlu menghindari perhimpunan awam dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

JAIS memaklumkan, KPPI akan dianjurkan selepas PKP tamat bagaimanapun kaedah pelaksanaan kursus ini akan dimuktamadkan supaya selaras dengan cadangan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jabatan itu juga akan meneliti jika sijil KPPI boleh dikecualikan dalam permohonan kebenaran berkahwin sekiranya jabatan itu tidak menganjurkan kursus berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, keputusan muktamad akan dimaklumkan menerusi laman web, Facebook serta Instagram rasmi JAIS.

Selain itu, bagi individu yang kehilangan sijil KPPI, salinan surat pengesahan hadir KPPI boleh diperoleh daripada penganjur selepas PKP berakhir dan pejabat kembali beroperasi seperti biasa.

Menurut JAIS, maklumat berkaitan tarikh kursus yang ditunda boleh diperoleh daripada penganjur selepas tamat PKP.

Susulan KPPI ditangguhkan sepanjang PKP, buat masa ini juga tiada kursus secara dalam talian dianjurkan.

Sementara itu, pasangan yang ingin memohon kebenaran khas Pengarah JAIS bagi melaksanakan akad nikah dalam tempoh PKP diminta mengemukakan permohonan segera sebelum Khamis ini.

JAIS menerusi satu kenyataan berasingan, memaklumkan ia bagi melancarkan proses persediaan teknikal di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Menurut kenyataan itu, permohonan yang diterima selepas Khamis ini hanya akan diproses antara 7 hingga 12 Mei depan bagi penyusunan semula sama ada majlis akad nikah menerusi sidang video atau selain daripadanya (jika PKP ditamatkan pada 12 Mei) sebelum menjelang Aidilfitri.

Sehingga semalam, sebanyak 450 kebenaran khas sudah diberikan kepada pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan dalam tempoh PKP dan sebanyak 302 akad nikah secara sidang video sudah diadakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 3:46pm
    d