mutakhir

JPJ sediakan garis panduan bagi orang ramai [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menetapkan beberapa garis panduan pencegahan Covid-19 bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan susulan pembukaan kaunter untuk urusan kenderaan perdagangan bermula hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Abdul Tolib Ahmad berkata, orang ramai yang berurusan di kaunter JPJ wajib mematuhi garis panduan ditetapkan itu sebelum meneruskan urusan mereka.

"Orang ramai perlu mengisi borang biodata sebelum berurusan di kaunter bagi membolehkan kami mengenal pasti mereka yang hadir selain mematuhi penjarakan sosial.

"Malah, kami juga mewajibkan mereka memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di pintu masuk kaunter.

"Selain itu, kami turut melaksanakan pemeriksaan suhu dan jika ada individu yang didapati demam, mereka disarankan menjalani pemeriksaan serta rawatan di klinik kesihatan berhampiran," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur di Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Abdul Tolib berkata, pihaknya turut menetapkan hanya lapan individu sahaja dibenarkan masuk ke dalam pejabat pada satu masa untuk berurusan di kaunter.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil inisiatif dengan melakukan sanitasi di tiga cawangan JPJ Kuala Lumpur yang terbabit dengan pembukaan kaunter berkenaan.

"Kami melakukan sanitasi di cawangan Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri dan Manjalara dengan kerjasama pihak bomba, semalam, sebagai persediaan pembukaan kaunter pada hari ini," katanya.

Beliau berkata, JPJ membuka khidmat kaunter bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hari bekerja membabitkan urusan pembaharuan lesen dan penyelesaian senarai hitam serta pembayaran saman untuk kenderaan perdagangan.

"Bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan Lesen Memandu (Vokasional dan Lesen Memandu Malaysia) masih berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru, arahan pembukaan kaunter membabitkan perkhidmatan JPJ yang lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan pandemik Covid-19 serta keputusan kerajaan mengenai PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 4:34pm
    d