mutakhir

'Ade je alasang mung...'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

MAHU ziarah nenek, hantar beras dan bermain daun terup antara alasan diberikan tiga daripada lima lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhammad Azim Mustaqim Mustafa, 25; Muhammad Firdaus Fikri Madzlan, 20, dan Muhamad Aidil Mahari, 23, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda sebanyak RM1,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Selain itu, mereka turut berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Azim Mustaqim dari Kampung Tok Jiring mengaku bersalah bergerak dengan menunggang motosikal di tepi jalan Losong Haji Mat Shafie hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad pada 11.30 malam tadi dengan alasan mahu menziarahi neneknya.

Bagi tertuduh, Muhammad Firdaus Fikri pula, dia didakwa bergerak dari rumahnya di Kampung Losong Ferry ke kawasan Jalan Tangki Air, Kampung Losong Mat Shafie pada 11.10 malam tadi dengan memberi alasan dalam perjalanan balik ke rumah selepas menghantar beras ke rumah kawannya.

Muhamad Aidil dari Bukit Payong, Marang pula memberi alasan mahu bermain daun terup dan mengaku bergerak dari rumahnya ke tepi jalan Gelugor Kampung Sungai Pinang pada 11.30 malam tadi.

Selain itu, dua lagi tertuduh, Muhammad Yazid Mohd Rosli, 23, dan Mohamad Syazwan Aminuddin, 29, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua dan lima hari serta denda RM1,000 atau tambahan penjara satu bulan lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda.

Kesemua mereka itu didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang dibacakan secara berasingan.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan hukuman penjara berjalan bermula daripada tarikh mereka ditahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full, manakala kesemua mereka itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 4:42pm
    d