mutakhir

JKNJ terima PPE

Oleh Hazri A Bakar

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini menerima pakaian perlindungan diri (PPE) dan penjagaan kesihatan bernilai lebih RM377,000 sumbangan Persatuan Kasih Sayang Ai Xin Malaysia (Ai Xin).

Pengerusi Ai Xin, Datin Fam Yun Nee berkata, sumbangan membabitkan 134 kotak berisi PPE, penutup hidung dan mulut, pelindung muka, pelindung mata, penutup kepala, sarung tangan, sarung kasut, topeng muka K95, cecair pembasmi kuman dan pengimbas suhu.

Katanya, sumbangan diserahkan di Hospital Permai yang turut dijadikan hospital utama bagi merawat kes positif Covid-19 di Johor.

"Kami memahami beban yang digalas petugas kesihatan pada ketika wabak Covid-19 kerana keperluan penggunaan PPE dan kelengkapan lain meningkat sehingga 10 kali ganda.

"Sumbangan ini adalah hasil kutipan derma daripada ahli kami yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri. Mereka mahu turut sama menyumbang kepada wira negara di barisan hadapan," katanya.

Terdahulu Yun Nee menyerahkan sumbangan itu kepada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perubatan JKNJ, Dr Solhaa Mohd Mahfdzuz.

Yun Nee berkata, usaha menyalurkan pelbagai peralatan penjagaan diri itu tercetus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dengan berhubung dengan pembekal di China.

Biarpun melalui pelbagai kerenah penghantaran, ia berjaya diselesaikan dan kesemua barangan yang dibeli untuk disumbangkan kepada petugas kesihatan berjaya diperoleh minggu lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 5:26pm
    d