mutakhir

2,000 penuntut UTeM pulang mulai esok

Oleh Amir Mamat

KIRA-KIRA 2,000 penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dihantar pulang secara berperingkat, bermula malam esok.

Timbalan Naib Canselornya, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, daripada jumlah itu, 838 penuntut berada di Kolej Kediaman UTeM, manakala selebihnya tinggal di rumah sewa di sekitar negeri ini.

Beliau berkata, seramai 140 penuntut berasal dari Sabah dan 200 dari Sarawak itu akan dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara berperingkat.

"Pada peringkat permulaan ini, kami tumpu kepada pergerakan ke zon dibenarkan iaitu zon hijau Covid-19 dan mereka akan disaring sebelum dibenarkan pulang.

"Semua kenderaan membawa mereka akan dinyah cemar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Prosedur itu agak ketat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak sentiasa terjamin. Semua bas serta kenderaan membawa mereka akan disediakan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sedikit kelonggaran dengan membenarkan pelajar terkandas di kampus pulang kepada keluarga susulan PKP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 6:20pm
    d