mutakhir

PKP: Tiada 'pengecualian' untuk zon hijau [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tetap dilaksanakan di zon hijau, termasuk Perlis meskipun sesetengah tempat di zon itu sudah enam minggu tiada kes baharu koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya ada mempertimbangkan untuk pelan penamatan PKP dan kenal pasti zon berkenaan, tetapi ia hanya akan dilakukan secara bertahap.

Beliau berkata, apa yang utama adalah enam kriteria digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi sebelum PKP boleh ditamatkan.

"Selain Perlis, ada mukim atau kawasan yang memang sentiasa zon hijau sebelum PKP fasa satu, dua dan tiga diperkenalkan... sejak awal sudah enam minggu.

"Kita kenal pasti zon dan kawasan berkenaan. Sekarang ini kita sedang pertimbangkan dari segi pelaksanaan iaitu sebelum kita boleh soft landing untuk kawasan itu dengan pematuhan enam kriteria digariskan KKM.

"Paling penting kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu ketika ditanya adakah KKM akan memberikan syor untuk menamatkan PKP di Perlis susulan negeri itu merekodkan lebih 14 hari tanpa kes baharu.

KKM menggariskan enam kriteria sebelum PKP boleh ditamatkan merangkumi kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 6:33pm
    d