mutakhir

Kerja pengubahsuaian rumah boleh mohon kepada polis

Oleh Suraya Roslan

PEMILIK rumah yang melakukan kerja pengubahsuaian secara kecil-kecilan perlu menyenarai nama kontraktor dan memohon di balai polis berhampiran.

Menteri Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kontraktor kelas G1 dan G2 dibenarkan untuk beroperasi untuk menyambung kerja pengubahsuaian rumah pelanggan dengan syarat perlu mendapat kelulusan daripada polis untuk pergerakan melalui permohonan tuan rumah.

"Kita sedar ada juga kontraktor yang tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebab kerja terlalu kecil seperti membaiki paip bocor dan servis penghawa dingin.

"Sesetengah mereka memang tidak berdaftar dengan CIDB walaupun bertentangan dengan perundangan CIDB iaitu sesiapa dapat projek perlu berdaftar.

"Tetapi dalam kes-kes sebegini, mesyuarat menteri kabinet Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibangkitkan perkara ini dan polis mencadangkan supaya tuan rumah membuat permohonan di balai polis berhampiran," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian dalam rancangan Bicara Politikonomi bertajuk Cabaran Sektor Pembinaan: Normal Baharu Mendepani Covid-19 di RTM, malam ini.

Fadillah berkata, polis tidak mahu sebarang pergerakan besar-besaran berlaku sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

"Kita kena sedar sekarang kita berada dalam PKP iaitu sekatan pergerakan, jadi kena kawal (pergerakan), polis tidak mahu melepaskan begitu ramai orang keluar hingga menyukarkan mereka melakukan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Jadi apa yang dicadangkan jika ada kerja sedemikian (pengubahsuaian), tuan rumah boleh memohon ke balai polis berhampiran untuk maklumkan dan bagi senarai nama kontraktor serta berapa ramai terbabit," katanya.

Menurutnya, kerja pengubahsuaian secara kecil-kecilan boleh diteruskan tanpa perlu memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 10:50pm
    d