mutakhir

Covid-19: Mengenang jasa barisan hadapan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan melaksanakan program penghargaan dikenali sebagai Limpahan Lampu Biru kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus berkhidmat untuk rakyat Malaysia dalam menangani wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, program yang juga dikenali sebagai Light It Blue itu diadakan bermula 30 April sehingga 3 Mei ini dari 10.30 malam hingga 1 pagi.

"Tujuan utama program ini adalah untuk mengucapkan jutaan terima kasih terhadap pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat barisan hadapan di sektor awam, swasta serta sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan memerangi wabak Covid-19 bagi rakyat Malaysia.

"Pelaksanaan program ini membabitkan bangunan ikonik dan jalan protokol di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Pemilihan warna biru kerana ia adalah warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kreadibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus.

"Sebanyak 38 bangunan dan kawasan terpilih dinyalakan dengan lampu biru ini seperti Dataran Merdeka dan Saloma Link sebagai simbolik penghargaan seluruh rakyat Malaysia kepada petugas barisan hadapan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Annuar berkata, seramai 13,126 petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan keselamatan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala 1,272 petugas lagi di Labuan.

"Jumlah itu termasuk petugas dari kementerian ini, Majlis Keselamatan Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kesihatan Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

"Jumlah itu tidak termasuk petugas perubatan dan bukan perubatan di sektor swasta, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga digalakkan untuk memasang lampu biru di kediaman masing-masing, namun ia bukan satu kewajipan memandangkan semua pihak perlu mematuhi arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun, orang ramai boleh berkongsi kreativiti mereka di laman sosial menggunakan tanda pagar #LightItBlueWP dan #LimpahanLampuBiruWP.

"Ia adalah sebagai tanda sokongan kepada pasukan barisan hadapan serta diri sendiri yang mengamalkan norma budaya kehidupan baharu, penjarakan sosial dan mengelakkan perkumpulan beramai-ramai dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 11:07pm
    d