mutakhir

Penambahbaikkan agihan bakul makanan bermula hari ini

Oleh Wartawan HM

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penambahbaikkan bagi sistem penyampaian bantuan bakul makanan bagi perlaksanaan fasa ke-4 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail berkata, barangan terbabit berupa makanan kering keperluan asas disediakan oleh JKM melalui sumber dana Tabung COVID-19 dan peruntukan Kementerian Kewangan serta sumbangan barangan daripada pelbagai pihak seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta, individu dan lain-lain.

"Sekiranya terdapat masalah stok barangan sebagaimana yang disenaraikan pihak KPWKM pada satu masa tertentu, JKM Negeri (JKMN) dibenarkan membuat penggantian barangan yang bersesuaian dan setara dari aspek nilai dan kuantiti.

"Kebenaran ini juga terpakai dalam keadaan tertentu seperti atas permintaan pihak berkuasa tempatan di Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dibenarkan memohon untuk membuat penukaran jenis barang.

"Bagi sumbangan yang disalurkan oleh pihak lain (NGO, syarikat swasta dan individu), peranan JKM adalah untuk menerima, memeriksa dan seterusnya mengagihkan sumbangan barangan kepada golongan yang memerlukan. Jenis, nilai dan kuantiti bantuan makanan serta kumpulan sasar penerima adalah tertakluk kepada budi bicara para penyumbang," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 336,916 bakul makanan diagihkan di semua daerah dan negeri di seluruh negara yang dianggar memanfaatkan 1.34 juta isi rumah. Jumlah ini tidak termasuk pengagihan bantuan khas di kawasan-kawasan PKPD.

Antara barangan yang akan disenaraikan bagi setiap bakul makanan seperti beras, kicap, minyak masak, sos cili, gula pasir, sardin tin, tepung gandum, teh atau kopi dan susu pekat manis.

Selain itu, biskut, garam halus, rempah ratus, bihun, cili kering dan ikan kering atau bilis.

Sekiranya dikenal pasti terdapat pihak yang memerlukan bantuan khususnya mereka yang belum pernah sebarang bantuan makanan, aduan boleh dibuat kepada Bilik Gerakan JKM di talian 03-83231996 atau JKMN dan PKMD berhampiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 11:51pm
    d