mutakhir

IKS bakal dibenar operasi selepas ini [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

KEBENARAN kepada syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat akan diumumkan kelak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) sudah memberi kebenaran kepada syarikat besar memulakan operasi dengan kapasiti penuh.

Menurutnya, kelonggaran sama juga akan diberikan kepada syarikat IKS dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Antara kelonggaran yang akan diberikan adalah syarikat IKS juga akan dibenarkan operasi.

"Tunggulah pengumuman yang akan kita buat nanti berserta SOP berkaitan perniagaan syarikat IKS ini," katanya pada sidang media harian PKP, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan persoalan dari kalangan syarikat IKS yang mahu diberikan kebenaran untuk beroperasi dan meneruskan perniagaan seperti syarikat besar lain.

Terdahulu, kerajaan bersetuju supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Kebenaran itu berkuatkuasa semalam dan syarikat yang diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 4:05pm
    d