mutakhir

Gerak Malaysia: Ramai salah faham

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

TARIKH 1 hingga 3 Mei bukan tempoh pergerakan ke destinasi sebaliknya tarikh kerajaan menyemak dan memutuskan keputusan sama ada meluluskan permohonan mereka yang terkandas.

Salah faham itu dikongsi menerusi media sosial hari ini apabila orang ramai mempersoalkan kemas kini dalam aplikasi Gerak Malaysia bagi membenarkan mereka bergerak pulang.

Pengguna Facebook (FB), SucimuciZahid Zahid melahirkan rasa kerisauannya yang mahu pulang ke rumah.

"Saya dah buat kemas kini GerakMalaysia tetapi sampai saat ini kod QR belum dapat lagi.

"Saya dah risau saya nak balik rumah kerana terkandas di sini satu bulan lebih," katanya.

Alepp Ismail turut senada mengatakan yang dia sudah sebulan lebih tidak dapat pulang ke rumah sendiri.

"Aplikasi Gerak Malaysia bila akan update (dikemas kini), saya dah sebulan terperangkap dekat Kuala Lumpur, nak balik ke rumah sendiri," katanya.

Nuraidah Samsee pula terkilan kerana tiada maklumat terkini mengenai pergerakan rentas negeri.

"1 Mei esok tapi tak dapat apa-apa maklum balas walaupun sudah membuat permohonan," katanya.

Terdapat juga beberapa individu yang sudah mengemas barang dan membeli keperluan dapur untuk dibawa pulang.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai yang berada di kampung dan berhasrat untuk pulang ke ibu kota boleh mendaftar diri melalui aplikasi Gerak Malaysia, bermula 25 April.

Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

"Keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan MKN atas nasihat KKM.

"Buat masa ini, kerajaan tidak memberi sebarang jaminan (mengenai) pergerakan memandangkan kita menunggu laporan (daripada pendaftaran) yang akan bermula 25 April ini.

"Waktu itu (25 April) nanti kita boleh tengok seramai mana orang yang mahu pulang. Kemudian baru kita boleh merancang dan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kita akan kaji dahulu buruk dan baiknya dan lebih penting kita kena dapatkan nasihat KKM," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, lebih 500,000 individu membuat pendaftaran aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dengan lebih 250,000 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri setakat Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 4:20pm
    d