mutakhir

Penghormatan terakhir kumpulan penghantar makanan

Oleh Redzuan Muharam

SEMANGAT setiakawan sekumpulan penghantar makanan terbukti apabila sanggup mengetepikan kerja buat seketika demi membantu urusan pengebumian rakan mereka, Muhammad Zaim Azman, 21, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi semalam.

Kisah itu dikongsikan pengasas Pertubuhan Ukhuwah Kebajikan Van Jelata Selangor atau Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mohd Hirwan Aiyub menerusi Facebook miliknya, malam tadi.

Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang rata-rata memuji kumpulan penghantar makanan berkenaan.

Bercerita lanjut, Mohd Hirwan berkata, dia menerima panggilan daripada waris Allahyarham kira-kira jam 1 tengahari tetapi perlu menunggu bedah siasat sebelum dapat menguruskan jenazah.

"Selesai saja proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kami mengambil alih tugas mengurus iaitu memandikan dan mengkafankan jenazah di bilik wakaf Jannatul Firdaus Jalan Yadi di Klang.

"Sejak di hospital lagi, lebih 20 rakan Allahyarham sudah menunggu malah mereka turut mengiringi van jenazah sehingga dibawa ke rumah nenek Allahyarham di Sekinchan.

"Di situ, saya dapat lihat semangat setiakawan kumpulan penghantar makanan itu dan dengarnya, mereka sanggup tidak mengambil pesanan pelanggan demi melihat jenazah Allahyarham buat kali terakhir," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Hirwan, selain mengiringi van, kumpulan penghantar makanan berkenaan juga menawarkan diri untuk mengusung keranda sebaik tiba di tanah perkuburan sebelum mengebumikan jenazah ke dalam liang lahad.

"Jenazah disembahyangkan di rumah neneknya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Parit 9 Baroh Kariah Masjid As Saidiah Pasir Panjang Sekinchan.

"Urusan pengebumian berjalan lancar dengan bantuan kumpulan penghantar makanan berkenaan. Mereka sanggup menunggu sehingga selesai sebelum kami semua beredar sekitar jam 6 petang," katanya.

Mohd Hirwan berkata, selain semangat setiakawan, niatnya berkongsi kisah berkenaan adalah untuk mengajak masyarakat supaya lebih menghargai sumbangan penghantar makanan.

"Mereka bekerja mengejar masa dan adakalanya perlu ke kawasan yang jauh daripada biasa jadi risiko kemalangan itu sentiasa ada.

"Jadi, saya harap kisah itu membuka mata masyarakat supaya tidak berkira dengan penghantar makanan terutama dari segi caj penghantaran.

"Ini kerana boleh jadi itu kali terakhir kita berurusan atau bertemu kerana boleh jadi mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya dalam perjalanan pulang selesai membuat penghantaran," katanya.

Berita berkaitan

  • 'Abang kena kerja, orang tengah susah'
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 5:44pm
    d