mutakhir

Pelarian tiada hak kemuka tuntutan kepada kerajaan

Oleh Mahaizura Abd Malik

PEMEGANG kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemukakan sebarang tuntutan kepada kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, hasil semakan kementerian itu mendapati Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tidak pernah mendaftarkan pertubuhan atas nama Rohingya atau mana-mana etnik Rohingya di Malaysia.

"Mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan boleh diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui jabatan dan agensi di bawahnya komited dalam memastikan ketenteraman awam terus terpelihara dari masa ke masa.

"Sebarang tindakan pemegang kad UNHCR yang mengganggu gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara tidak akan terlepas daripada tindakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 19 laporan terhadap pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya dan empat kertas siasatan dibuka.

"Selain itu, dua tekong warga Myanmar bakal dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan terbabit dengan sindiket menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR ke dalam negara," katanya.

Hamzah berkata, langkah pihak berkuasa tidak membenarkan bot membawa etnik Rohingya memasuki perairan negara 17 April lalu adalah tindakan berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

"Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan pihak berkuasa Malaysia mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot itu keluar dari perairan negara," katanya.

Katanya, tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong tikus bagi menghalang pencerobohan PATI adalah selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

"KDN menegaskan pihak berkuasa akan terus bersiap-siaga bagi menghalang sebarang pencerobohan terhadap sempadan mahupun perairan negara.

"Pada masa yang sama, PATI yang memegang kad UNHCR di Malaysia diingatkan terus menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, seramai 179,521 pemegang kad UNHCR menetap secara sementara di Malaysia.

"Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya. Dalam hal ini, KDN ingin menegaskan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

"Oleh itu, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai PATI yang memegang kad UNHCR.

"Namun, atas dasar kemanusiaan, kerajaan membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNCHR menerusi dasar 'satu kes ke satu kes'," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 7:08pm
    d