mutakhir

PKP: kantoi tak puasa, bermain judi lagi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LIMA lelaki, termasuk seorang warga emas, bukan setakat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah tidak menghormati Ramadan apabila ditangkap bersama dua mangkuk mi segera dan kopi panas.

Lebih memalukan, mereka yang berusia antara 57 hingga 66 tahun turut bermain judi daun terup pada serbuan di pondok di kawasan sekitar Jalan Air Putih, Kampung Dadong di sini, 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, anggota yang melakukan pemantauan Covid-19 menerima maklumat mengenai kehadiran lima lelaki di pondok itu.

"Anggota yang tiba di pondok yang terletak di belakang sebuah rumah mendapati, kelima-lima individu itu sedang bermain judi daun terup.

"Pemeriksaan terhadap mereka tidak menemui barangan mencurigakan.

"Kami bagaimanapun mendapati ada dua mangkuk mi segera dan segelas air kopi di lantai pondok berkenaan," katanya.

Menurut beliau, ketika disoal siasat, mereka gagal memberikan alasan munasabah mengenai tujuan mereka berkumpul di pondok itu.

Hanyan berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit.

href="https://www.hmetro.com.my/perintahkawalanpergerakan">Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 8:55pm
d