mutakhir

Pak Salleh kena catat maklumat pelanggan - PM [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

SEKTOR awam dan sosial yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi syarat dan peraturan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai contoh, tindakan yang perlu dilakukan seorang peniaga, Pak Salleh sebelum membuka semula restorannya Isnin depan.

"Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk membersihkan restoran, pinggan, sudu, periuk dan peralatan memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang mentah.

"Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak selamat antara pelanggan yang makan di situ.

"Untuk memastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu, dua atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.

"Kalau meja kecil mungkin satu atau dua orang saja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Pekerja, hari ini.

Muhyiddin berkata, Pak Salleh juga perlu membuat garisan di lantai depan kaunter bayaran dengan ukuran sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain bagi memastikan pelanggan beratur dengan jarak selamat ketika ingin membuat bayaran.

Katanya, Pak Salleh juga perlu menyediakan pensanitasi tangan di kaunter pembayaran bagi membolehkan pelanggan menggunakannya.

"Sediakan juga sabun yang mencukupi di tempat basuh tangan. Ketiganya, beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

"Pastikan pekerja memakai penutup mulut dan hidung setiap masa, Pak Salleh juga perlu memakainya," katanya

Katanya, pada hari pertama restoran dibuka, suhu badan pelanggan perlu diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke restoran.

Paling penting, Muhyiddin berkata, pemilik restoran perlu mencatat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran.

"Ini penting kerana jika ada kes positif Covid-19 yang membabitkan seorang daripada pelanggan, orang lain yang datang pada hari sama boleh segera dikesan.

"Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran. Ia bagi memastikan tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan Covid-19.

"Pemilik restoran, food truck dan gerai makan lain pun mesti buat perkara yang sama. Kalau semua dah buat begini, pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat.

"Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 12:16pm
    d