mutakhir

Lima ditahan solat terawih berjemaah di surau

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LIMA lelaki termasuk seorang warga emas ditahan ketika menunaikan solat terawih secara berjemaah di sebuah surau di Kijal, Chukai, malam tadi.

Mereka yang berusia antara 38 hingga 67 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang melakukan serbuan pada 9 malam hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya yang melakukan pemantauan Covid-19 menerima maklumat terdapat aktiviti solat terawih di surau berkenaan sebelum bergegas ke lokasi itu.

"Sebaik tiba di surau itu, terdapat lima lelaki sedang menunaikan solat terawih.

"Anggota memperkenalkan diri sebelum memaklumkan kesalahan dilakukan kerana berhimpun sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 2:40pm
    d