mutakhir

Syukur selamat kembali ke Sarawak [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

SELEPAS lebih sebulan terkandas di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar dari negeri ini lega selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, tengah hari tadi.

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Vannessa Ashley Justin, 24, berkata, terkandas di kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, Perak, menambahkan kerinduan kepada ibunya.

"Dalam tempoh lebih sebulan, hampir setiap hari saya berkomunikasi menerusi panggilan video dengan ibu dan dia memang amat bimbangkan keselamatan saya di kampus.

"Perasaan gembira tidak terkata apabila hasrat kami untuk balik menemui keluarga akhirnya menjadi kenyataan, hari ini," katanya yang tinggal di Rampangi, di sini.

Rakannya, Valerie Jackie, 21, pula berkata, sebaik menjejak kaki di Kuching hari ini, beliau tidak sabar untuk meneruskan perjalanan hampir 300 kilometer ke rumahnya di Sri Aman untuk bersama keluarganya.

"Saya terlalu rindu dengan ahli keluarga terutama ibu dan ayah. Selama ini mereka bimbangkan keselamatan saya yang berada jauh, namun hari ini, saya akan hadir di depan mata mereka.

"Memang setiap hari kami berhubung, namun ia tidak sama jika berjumpa mereka, apatah lagi dalam situasi agak tegang seperti sekarang," katanya.

Valerie turut berterima kasih dengan pihak UPSI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menjaga kebajikan mereka sebaiknya sepanjang tempoh terkandas sejak PKP dikuatkuasakan.

Vannessa dan Valerie adalah antara 287 pelajar Sarawak dari UPSI yang selamat tiba di LTAK pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Mereka adalah kumpulan pertama pelajar Sarawak dibawa pulang selepas PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Seramai 261 daripada mereka yang balik ke kawasan zon merah dan kuning dipasang gelang tangan khas bagi memudahkan pemantauan dijalankan selain diberi notis tinggal di rumah selama 14 hari.

Ketibaan mereka di LTAK hari ini disambut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 4:11pm
    d