mutakhir

Tindakan tegas jika gagal patuh SOP [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

SEMUA sektor ekonomi yang dibenarkan operasi semula Isnin ini, wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan akan melakukan pemantauan serta penguatkuasaan.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab di kawasan atau premis tertentu sekiranya mereka didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Kalau tidak patuh kita akan lihat tindakan kita seterusnya. Contoh jika ada penularan kes di kawasan atau lokaliti tertentu, kita akan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan di kawasan berkenaan.

"Kita akan melaksanakan saringan dan memastikan pengasingan mereka yang positif serta mengenal pasti kontak rapat.

"Itu cara kita untuk melihat bagaimana kita dapat memantau dan mengambil tindakan seterusnya," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP ketat mulai 4 Mei ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Pekerja, hari ini.

Menurut Noor Hisham, walaupun sektor ekonomi dibenar beroperasi, namun perlu mengekalkan amalan penjarakan sosial, tidak mengadakan perhimpunan dan penjagaan kebersihan diri bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, kelonggaran diberikan berikutan kes Covid-19 di negara kini terkawal dengan dua angka sejak seminggu lalu dan tiada peningkatan kes yang mendadak.

Justeru, katanya, fasiliti kesihatan berkemampuan memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 5:57pm
    d