mutakhir

Elektrik percuma untuk 16 pondok kawalan

Oleh Mohd Rafi Mamat

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyediakan bekalan elektrik secara percuma di 16 pondok kawalan pihak berkuasa seluruh negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM16,000 bagi menyediakan kemudahan itu membabitkan aktiviti penyambungan, lampu dan bayaran bil.

Beliau berkata, sebelum ini TNB Pahang turut menyumbang dana RM1.5 juta kepada kerajaan negeri Pahang untuk kegunaan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) lain turut disediakan adalahh menyediakan makanan kepada barisan hadapan di HTAA dan agihan wang zakat kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) masing-masing RM10,000.

"Hari ini, TNB Pahang turut menyediakan peruntukan RM3,000 bagi menyediakan barangan keperluan seperti beras, susu, tepung, gula, minyak masak dan sardin diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

"Bantuan berkenaan akan diagihkan kepada golongan terkesan dengan penularan wabak Covid-19 di Pahang," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada Pengurusan Bantuan JKM Pahang Semasa Krisis Covid-19 di Bilik Gerakan JKM Pahang, Kuantan, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 6:10pm
    d