mutakhir

Jangan buat lagi...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LIMA lelaki diberi amaran selepas melakukan solat sunat tarawih berjemaah di surau di Kuala Terengganu ketika rondaan pihak berkuasa pada Ramadan ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Adnan Abdullah berkata, tindakan mereka berkumpul itu tetap salah walaupun mematuhi jarak sosial ditetapkan termasuk kedudukan jemaah dalam saf.

"Semua pihak perlu akur dengan arahan tidak membenarkan solat sunat tarawih berjemaah dilakukan di masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hanya petugas masjid dan surau dipilih antara tiga orang sahaja dibenarkan berada di rumah ibadat itu bagi melaungkan azan.

"Justeru, masyarakat Islam digalakkan melakukan solat sunat tarawih di rumah masing-masing bersama ahli keluarga bagi mengelak mereka daripada terdedah kepada risiko penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Adnan berkata, pihaknya berharap masyarakat di Terengganu mematuhi arahan ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, kerajaan sedang bekerja keras menangani Covid-19 dan semua pihak perlu memberi kerjasama.

"Individu tidak mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

"Bagi kesalahan ini, individu yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 8:20pm
    d