mutakhir

Prasarana panjangkan waktu operasi [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi mengikut waktu normal dari jam 6 pagi sehingga tengah malam mulai Isnin ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, bagi menggalakkan penjarakan sosial di dalam tren dan bas, perjalanan waktu puncak dipanjangkan daripada 7 pagi hingga 11 pagi untuk waktu puncak pagi dan antara jam 4 petang hingga 7 malam untuk waktu puncak petang bagi semua perkhidmatan.

"Ini bermakna kekerapan tren yang lebih tinggi pada waktu ini. Di samping itu, kami akan meletakkan staf tambahan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan penjarakan sosial di dalam tren.

"Tentunya, ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Jadi, kami memohon agar semua penumpang memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kuasa untuk meneruskan usaha memutus rantaian penularan Covid-19 adalah di tangan orang ramai dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.

"Anda mesti bersedia melakukan penjarakan sosial secara sukarela dan menyokong satu sama lain.

"Tren dan bas akan mempunyai tanda khas untuk membantu urusan penjarakan sosial dalam bas dan tren," katanya.

Beliau berkata, untuk mendapatkan jarak yang sesuai bagi penjarakan sosial, tren menampung hanya 50 peratus penumpang daripada kapasiti penuh untuk rel dan 30 peratus bagi bas.

Kerja membasmi kuman di stesen dan hab bas serta di dalam tren dan bas kendalian Prasarana dan feri akan diteruskan secara gigih.

"Staf yang bertugas khususnya kapten bas, anggota Polis Bantuan dan pekerja stesen akan turut diperiksa suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memulakan kerja masing-masing.

"Tetapi, seperti saya nyatakan, apa jua usaha daripada kami di Prasarana tidak akan berhasil untuk mencegah wabak Covid-19 ini tanpa kerjasama penuh daripada semua pelanggan setia kami.

"Kita perlu bergandingan tenaga untuk memastikan kita menang," katanya.

Sementara itu, kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit, manakala untuk LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah enam minit.

Perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh- Kajang pula mempunyai kekerapan waktu puncak empat minit manakala perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit.

Langkah itu diambil susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat mulai 4 Mei ini, tetapi dengan operasi yang tertakluk kepada syarat dan prosedur ketat bagi memastikan usaha mencegah penularan wabak Covid-19 terus diperkasakan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 8:29pm
    d