mutakhir

Taska dibenarkan beroperasi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TASKA dibenarkan beroperasi kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengusaha taska perlu mematuhi beberapa prosedur ketat seperti yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam garis panduan yang ditetapkan, pengusaha, guru dan kakitangan taska perlu disahkan bebas Covid-19 manakala premis mesti dibersihkan dan dinyah kuman sebelum beroperasi.

Guru dan kakitangan taska pula perlu diberikan latihan langkah kebersihan dan keselamatan serta pelaksanaan aktiviti dan Borang Akuan Pengisytiharan Kesihatan bagi kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga dan kakitangan perlu diisi.

Ketika beroperasi, kakitangan atau kanak-kanak yang menunjukkan gejala dilarang berada di taska dan perlu diasingkan untuk dirujuk bagi nasihat perubatan.

Manakala kakitangan atau kanak-kanak yang menjadi kontak rapat dengan orang disahkan positif Covid-19 atau baru pulang dari luar negara tidak dibenarkan hadir ke taska dalam tempoh 14 hari.

Warga taska juga perlu menjalankan saringan sebelum masuk, semasa berada dan sebelum balik setiap hari bagi mengesan gejala seperti demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas.

Dalam pada itu, kakitangan atau kanak-kanak yang mempunyai suhu badan 37.5 darjah Celsius ke atas dilarang berada di taska dan proses sanitasi dan pembasmian kuman dijalankan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Bagi menjamin kebersihan, pengusaha perlu menyediakan cecair basmi kuman selain meletakkan label penjarakan sosial seperti tanda jarak satu meter di lantai khususnya di ruang makan, ruang tidur dan ruang membasuh tangan.

Tambahan daripada itu, penutup mulut dan hidung perlu dipakai sepanjang masa dalam kalangan kakitangan ketika di taska.

Kakitangan Taska juga perlu mengajar kanak-kanak kepentingan menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan dan menjaga jarak sosial.

Selepas tamat operasi harian proses sanitasi perlu dijalankan dan memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga untuk memandikan kanak-kanak terlebih dulu, dan mengelakkan kontak terus dengan warga emas di rumah selepas pulang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 3:10pm
    d