mutakhir

MBPP tak 'beri muka' kepada peniaga ingkar

Oleh Zuhainy Zulkiffli

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan sebanyak 146 notis kepada penjaja kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Ramadan lalu.

Jumlah itu termasuk satu kes membabitkan rampasan barangan jualan peniaga warga asing.

Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP Azman Sirun berkata, tindakan berkenaan dijalankan selepas menerima aduan orang ramai dan pemantauan dilakukan pihaknya di lokasi.

Menurutnya, selain tidak mengamalkan penjarakan sosial selamat, peniaga dikenal pasti tidak menjaga kebersihan gerai dan beberapa kesalahan lain melanggar Undang-Undang Kecil Penjaja 1979.

"Sejak 25 April hingga 30 April lalu, sebanyak 90 notis dikeluarkan terhadap peniaga di Teluk Kumbar, Taman Tun Sardon (32), Sungai Ara (18) dan Pantai Jerejak (5).

"Satu kes membabitkan rampasan jualan peniaga warga asing di Jalan Yap Chor Ee, Jelutong dan pemantauan dijalankan bersama pihak berkuasa," katanya.

Mengulas pelbagai video dan gambar tular mengenai peniaga tidak memakai penutup mulut dan hidung serta pelanggan tidak mengamalkan penjarakan sosial, Azman menafikan MBPP tidak mengambil tindakan.

"Kesalahan itu hanya membabitkan segelintir peniaga dan sebilangan besarnya sudah mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebanyak 105,709 gerai penjaja diperiksa dan kini 99.4 peratus peniaga sudah patuh dengan arahan yang ditetapkan.

"Justeru, orang ramai termasuk peniaga diminta supaya sentiasa patuh kepada arahan selain mengamalkan SOP keselamatan dan kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 3:48pm
    d