mutakhir

Sepi Ramadan ini buat anak yatim

Oleh Mohd Amin Jalil

"MEMANG ada kalangan mereka ini (anak yatim) yang nampak bosan kerana setiap hari berbuka dengan rakan yang sama, berbanding sebelum ini kami kerap berbuka di luar atas jemputan ramai pihak.

"Bagaimanapun anak yatim ini dapat menerima hakikat bahawa Ramadan kali ini amat berbeza dan tidak lagi berpeluang merasai suasana sebegitu (berbuka di luar) disebabkan wabak Covid-19," kata pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA), di Taman Satria Senawang, Negeri Sembilan, Mohd Zatullah Kamarudin.

Mohd Zatullah berkata, berikutan tiada majlis berbuka di luar, anak yatim PUJAYWA juga tidak berpeluang menerima duit raya seperti pernah mereka perolehi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

"Jika dahulu, pada awal Ramadan lagi anak yatim ini sudah mendapat duit raya yang diberikan oleh pelbagai pihak terutama pada setiap majlis berbuka yang mereka hadir.

"Bagaimanapun, setakat hari ini, suasana itu tidak lagi dapat dirasai mereka walaupun tiada lagi kalangan anak yatim ini yang bersuara tentang persediaan menyambut Syawal," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Zatullah berkata, sebagai langkah keselamatan sepanjang PKP ini, pihaknya mengambil langkah ketat dengan tidak menerima sumbangan makanan untuk berbuka dari

pihak luar sebaliknya menggunakan khidmat tukang masak bagi menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

Menurutnya, banyak pihak yang menyatakan keinginan untuk menyumbang makanan bagi berbuka dan bersahur, tetapi terpaksa ditolak kerana tidak mahu berlaku sebarang

sentuhan fizikal yang boleh menyumbang kepada kluster baharu Covid-19.

Katanya, pihaknya sudah menjelaskan lebih awal kepada pihak yang berkenaan mengenai langkah berkenaan kerana keselamatan dan kesejahteraan anak yatim lebih diutamakan.

"Buat sementara ini, kami hanya menerima sumbangan dalam bentuk bahan mentah atau wang tunai.

"Malah, kami juga tidak membenarkan sebarang perjumpaan antara anak yatim dengan orang luar," katanya.

Mohd Zatullah berkata, pihaknya mengadakan pelbagai pengisian bermula sejak awal Ramadan lalu antaranya bertadarus al-Quran, membaca Hadis, tahlil arwah dan

mengulangkali pelajaran.

Mengenai persiapan menyambut Syawal, beliau berkata anak yatim dari keluarga bukan Islam akan dibawanya berhari raya di rumahnya sendiri manakala mereka yang mempunyai

keluarga akan bersama keluarga masing-masing.

"Saya amat bersyukur kerana dapat mengurus dan menjaga serta mendidik anak yatim ini dengan baik dan selamat.

"Usaha ini juga tidak akan berhasil tanpa sokongan dan kerjasama orang ramai yang sentiasa membantu dan menunjukkan keprihatinan terhadap anak yatim," katanya.

Katanya, PUJAYWA ditubuhkan pada awal 2017, berorientasikan kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak yatim serta miskin melalui pendidikan

berteraskan Islam dan ketika ini menempatkan seramai 15 anak yatim dan yatim piatu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 7:13pm
    d