mutakhir

Kawalan di Pasar Borong Batu Berendam diperketatkan

Oleh Amir Mamat

MAJLIS Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memperketatkan lagi pemantauan dan kawalan di Pasar Borong Batu Berendam dengan mengehadkan jumlah pelanggan pada satu masa.

Yang Dipertuanya, Shadan Othman berkata, ia termasuk membenarkan hanya 200 pelanggan memasuki kawasan pasar borong berkenaan selain mewajibkan mereka termasuk peniaga menjalani ujian suhu badan di pintu masuk premis berkenaan.

Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak kononnya berlaku kesesakan serta pelanggaran perintah penjarakan sosial di pasar borong berkenaan seperti yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar.

"Bagaimana pihak tertentu mendakwa berlaku pelanggaran penjarakan sosial di sini sedangkan kita hanya membenarkan 200 pelanggan saja membeli-belah dalam satu-satu masa, malah kita meletakkan anggota penguat kuasa sejak jam 3 pagi sehingga aktiviti urus niaga selesai jam 2 petang dan tidak mungkin berlaku seperti yang didakwa.

"Video yang tular di media sosial itu sebenarnya berlaku ketika mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, bukannya semalam seperti diperkatakan itu," katanya selepas meninjau pengoperasian Pasar Borong Batu Berendam hari ini.

Turut hadir, Setiausaha MPHTJ, Afzai Nizam Sandiman.

Semalam, tular di media sosial mengenai video berdurasi 23 saat yang menunjukkan Pasar Borong Batu Berendam dipenuhi orang ramai membeli barang keperluan harian, sekali gus mengabaikan penjarakan sosial ketika penularan Covid-19.

Sehubungan itu, MPHTJ dalam satu kenyataan semalam menafikan keadaan itu berlaku sebaliknya mengesahkan ia adalah video lama yang dirakam ketika pelaksanaan PKP fasa pertama pada akhir Mac lalu.

Shadan berkata, pihaknya melakukan penyemburan nyah cemar di 200 lot niaga pasar borong terbabit setiap hari sejurus urusan perniagaan selesai.

Katanya, langkah terbabit bagi memastikan wabak Covid-19 serta virus berjangkit lain dimusnahkan bagi mengelakkan jangkitan kepada peniaga serta orang awam.

"Orang ramai yang berkunjung ke pasar juga diminta supaya mematuhi setiap arahan pihak berkuasa, termasuk mempersiapkan kemudahan keselamatan seperti pemakaian penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 11:35am
    d