mutakhir

NS hanya benarkan beli makanan bawa pulang sahaja

Oleh Mohd Amin Jalil

PREMIS makan berlesen yang beroperasi di Negeri Sembilan masih tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan makan di restoran atau kedai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata walaupun kerajaan negeri bersetuju dengan saranan untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, namun memandangkan kes baharu Covid-19 di negeri ini masih terus berlaku, langkah kawalan yang ketat perlu diteruskan.

Menurutnya, orang ramai hanya boleh membuat kaedah pembelian makanan yang dibawa pulang, menggunakan perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu.

"Syarat ini juga terpakai untuk semua kenderaan saji (food truck). Sementara itu hanya sektor ekonomi tertentu yang dibenarkan, boleh beroperasi dan bukan sektor sosial dan aktiviti sukan.

"Kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan untuk melonggarkan PKP fasa keempat seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terbabit dalam PKPB.

"Namun begitu, memandangkan kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan masih terus berlaku dan bagi memastikan kes baharu dapat dikawal, kerajaan negeri menetapkan beberapa syarat dan peraturan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Razali berkata, bagi kawasan yang mempunyai kes positif Covid-19 yang baharu dan tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kedai sekitar Pasar Besar Seremban serta Pasar Bahau, operasi sektor ekonomi yang dibenarkan di dalam PKPB adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Syarikat atau premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Sekiranya terdapat mana-mana syarikat atau premis perniagaan yang melanggar SOP yang ditetapkan itu, premis berkenaan tidak dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa.

"Langkah ini diambil kerana kerajaan negeri percaya perjuangan kita untuk melenyapkan Covid-19 belum berakhir berdasarkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan mengkaji tatacara berkenaan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini berkaitan penularan Covid-19.

Bermula esok, PKPB akan dilaksanakan dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan kerajaan bagi mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara serta kepentingan membendung wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 12:39pm
    d