mutakhir

Kesedaran berhubung Covid-19 perlu diperkasakan

Oleh Amir Abd Hamid

KESEDARAN rakyat mengenai Covid-19 perlu diperkasakan lagi susulan langkah kerajaan membuka semula hampir 100 peratus sektor ekonomi menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula esok.

Professor Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP) Prof Dr Osman Ali berkata, pembukaan ekonomi mesti selari dengan pematuhan syarat dan prosedur operasi standard (SOP) PKPB terutama dikawasan yang masih tinggi jangkitan.

Beliau berkata, jika bebas serentak tanpa syarat, ada risiko ulangan gelombang penularan jangkitan virus Covid-19 seterusnya akan berlaku.

"Apa yang penting masyarakat perlu sedar dan mengambil langkah kawalan diri untuk mengelakkan penularan Covid-19.

"Golongan berisiko tinggi terutama warga emas mungkin perlu lebih berhati-hati dengan meningkatkan imuniti tubuh dan mengawal penyakit kronik yang ada.

"Usaha melakukan saringan Covid-19 di lapangan perlu diteruskan dan kuarantin di rumah bagi kes ringan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas berhubung PKPB diumumkan dalam perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Hari Pekerja, 1 Mei lalu.

PKPB menyaksikan keputusan membenarkan dengan syarat ketat sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial bermula Isnin esok.

Mengulas lanjut, Dr Osman berkata memang wajar sektor ekonomi mula dibuka khususnya dikawasan zon hijau supaya orang ramai terutama golongan muda kembali bekerja menjana pendapatan.

"Ramai yang terkesan akibat kawalan pergerakan terutama yang tiada pendapatan tetap," katanya.

Untuk rekod, dalam usaha membendung penularan virus pandemik Covid-19, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu iaitu selama 14 hari bagi setiap fasa yang ketika ini sedang tempoh fasa keempat.

Dalam tempoh berkenaan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut dilaksanakan di beberapa lokasi dengan larangan sepenuhnya keluar masuk supaya semua penduduk kawasan itu dapat menjalankan ujian Covid-19 dengan teliti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 12:54pm
    d