mutakhir

Serbu Selangor Mansion tahan PATI

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BANGUNAN Selangor Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diserbu pihak berkuasa, hari ini.

Difahamkan serbuan itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi bagi memburu pendatang tanpa izin (PATI).

Selain Malayan Mansion, bangunan Selangor Mansion juga didiami kebanyakan warga asing dari beberapa negara termasuk Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

Operasi mengesan warga asing di kawasan berkenaan dikatakan mudah dilaksanakan berikutan pemasangan pagar kawat duri dipercayai bagi mengelakkan mereka melarikan diri.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan di bangunan itu yang mahu dikenali sebagai Deen memaklumkan semua penghuni di bangunan berkenaan memberi kerjasama penuh terhadap operasi itu.

"Semua penghuni memberi kerjasama serta mengikut arahan pihak berkuasa termasuk mengamalkan penjarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut.

"Malah, anggota penguat kuasa juga dilihat menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) sepanjang operasi berkenaan.

"Mereka (warga asing yang diperiksa) dikumpul di luar bangunan dengan kawalan ketat selain mengamalkan penjarakan sosial serta menggunakan penutup hidung dan mulut," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan operasi sama dilakukan pihak berkuasa di sekitar Masjid India, kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 1:43pm
    d