mutakhir

Empat beranak makan sekali sahaja [METROTV]

Oleh Omar

AKIBAT kesempitan hidup, empat beranak bukan sahaja tinggal di pondok buruk berdekatan sebuah tokong di Jalan Lumba Kuda, di sini, malah turut makan sekali sehari.

Pondok yang dikelilingi semak itu tidak sesuai dihuni kerana mendedahkan mereka dengan ancaman binatang berbisa seperti ular.

Keadaan bertambah teruk buat keluarga Muhamad Farid Ibrahim, 34, apabila dia tidak dapat bekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac lalu.

Katanya, dalam tempoh itu dia dan isteri serta dua anak berusia sembilan dan 16 tahun hanya makan sehari sekali kerana tiada makanan.

"Saya tinggal pondok sejak setahun lalu kerana tidak mampu bayar rumah sewa.

"Selepas duduk sini, saya bawa isteri (Siti Zaleha Ismail, 37) pada Julai tahun lalu dan menyara keluarga dengan bekerja di membaiki motosikal.

"Namun sejak PKP, tiada pelanggan hantar motosikal untuk dibaiki menyebabkan saya tiada wang dan terpaksa gadai telefon untuk beli makanan," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Muhamad Farid, sepanjang duduk di pondok itu secara percuma, bil air dan elektriknya dibiayai oleh pengurusan tokong berdekatan.

Katanya, dia juga mengharapkan belas ihsan jiran berdekatan yang membantu memberikan makanan setiap kali kehabisan bekalan.

Katanya, dia tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan tidak dapat memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana tidak mendaftar.

Sementara itu, kepayahan hidup keluarga Muhammad Farid diringankan dengan bantuan sumbangan Pasaraya Econsave.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, bantuan barangan kering dan makanan yang disumbangkan itu dijangka mampu bertahan selama dua bulan.

"Sekiranya keluarga ini mendapat penempatan berdekatan dengan cawangan kami, pihak kami bersedia menawarkan pekerjaan kepada mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 2:06pm
    d