mutakhir

Sarawak mohon hadkan penerbangan dari Kuala Lumpur

Oleh Mohd Roji Kawi

PENINGKATAN jumlah rakyat negeri ini yang menjalani kuarantin dalam usaha kolektif untuk membendung penyebaran Covid-19 memaksa kerajaan Sarawak memohon pengurangan kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan perkara itu untuk memastikan bilik di pusat kuarantin yang ditetapkan mencukupi untuk menampung penumpang yang baru tiba.

Ia berikutan langkah kerajaan mewajibkan penumpang kalangan rakyat negeri ini yang baru balik dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan menjalani kuarantin selama 14 hari di hotel.

Kim Shin berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menyampaikan keputusan JPBN untuk menghadkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke negeri ini.

"Perkara berkenaan sudah dibawa dalam mesyuarat peringkat Persekutuan pada 30 April lalu dan permohonan Sarawak untuk menghadkan jumlah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak dipersetujui mulai semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kim Shin berkata, berikutan persetujuan itu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching ditetapkan hanya empat kali seminggu, Kuala Lumpur ke Miri pula dua kali seminggu manakala Kuala Lumpur ke Bintulu hanya sekali seminggu.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu juga dibenarkan hanya sekali seminggu, namun ia hanya akan bermula pada 16 Mei ini.

"Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri Persekutuan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah sudah disampaikan oleh Kementerian Pengangkutan, Malaysia kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia pada 30 April untuk tindakan susulan yang diperlukan oleh syarikat penerbangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 3:47pm
    d