mutakhir

500 kg daun ketum gagal diseludup

Oleh Hamzah Osman

CUBAAN lelaki menyeludup 500 kilogram (kg) daun ketum ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di pantai Batu Putih, Kuala Perlis dekat Kangar, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi, suspek berusia 36 tahun sedang memunggah 17 guni berisi daun ketum dari kereta ke dalam dua bot enjin sangkut ekor panjang yang berada di tebing sungai.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya merampas daun ketum seberat 500 kg dianggarkan bernilai RM75,000 itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran

Katanya, suspek yang juga pemandu kereta sempat ditahan, manakala dua tekong bersama bot berjaya meloloskan diri dalam persekitaran yang gelap.

"Selain daun ketum, turut dirampas sebuah kereta Proton Saga dan dua alat penimbang dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM110,200.

"Suspek bersama barangan yang dirampas diserah kepada Balai Polis Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Katanya, PPM sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan di perairan Langkawi menerusi Op Covid-19 sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bagi menghalang penularan wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 4:08pm
    d