mutakhir

MyTrace kesan kontak individu positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Wartawan HM

APLIKASI MyTrace membolehkan kerajaan mengesan individu berada berdekatan dengan mereka yang dijangkiti virus Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan aplikasi itu adalah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama kepakaran tempatan

Menurutnya MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera yang dilancarkan sebelum ini dan menggunakan teknologi Bluetooth untuk pengesanan kontak (contact tracing) kepada individu positif Covid-19.

"Apabila telefon bimbit pengguna MyTrace berada dalam jarak dekat, ia akan mengesan gelombang Bluetooth untuk mengesan kehadiran masing-masing.

"Berdasarkan kekuatan gelombang Bluetooth yang dikesan, jarak dan tempoh pertemuan pengguna boleh dikenalpasti. Data yang dikumpul akan disimpan selama 21 hari di dalam telefon bimbit pengguna," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata aplikasi MyTrace hanya mengumpul maklumat pengguna yang dirahsiakan dan tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi.

"Pengesanan kontak adalah penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang sudah dikenalpasti positif Covid-19.

"Untuk memastikan keberkesanannya, sasaran penggunaan adalah sekitar 60 peratus pengguna telefon pintar di seluruh negara. Kerajaan berharap supaya seramai mungkin rakyat akan memuat turun dan menggunakan MyTrace," katanya.

Tambah beliau sekiranya ada kluster Covid-19 yang baru dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin.

Aplikasi MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android, manakala bagi versi iOS pula, ia boleh didapati tidak lama lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 4:53pm
    d