mutakhir

Jadual empat hari perjalanan rentas negeri [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan empat hari untuk perjalanan rentas negeri bagi membolehkan orang ramai yang terkandas bergerak semula ke kediaman masing-masing bermula Khamis ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamad berkata, pihaknya menetapkan Khamis ini kepada orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain di Semenanjung.

"Pada 8 Mei ini diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutama di Kuala Lumpur.

"Pada 9 Mei pula, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

"Pada 10 Mei, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Huzir berkata, langkah itu diambil bagi mengelak orang ramai tiba di beberapa lokasi secara serentak sepanjang tempoh berkenaan.

"Kami menjangkakan ramai individu akan bergerak selepas berbuka puasa atau selepas sahur. Nasihat kami kepada orang ramai supaya bergerak pada waktu malam bagi mengelak kesesakan.

"Pada masa sama, kami meminta orang ramai supaya mematuhi arahan ditetapkan dengan melakukan perjalanan pada empat hari berkenaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang membuat permohonan tidak akan mendapat notifikasi mengenai kelulusan permohonan dibuat mereka, namun pihaknya masih boleh mengenal pasti individu yang membuat permohonan.

"Tiada kod QR dikeluarkan berhubung kelulusan permohonan ini, namun kami masih boleh kenal pasti individu yang ada memohon sekiranya ada pemeriksaan dilakukan.

"Tujuan aplikasi ini adalah untuk memudahkan perancangan perjalanan orang ramai yang terkandas dan bukannya untuk mencari kesalahan.

"Kami sedaya upaya tidak akan mengganggu lalu lintas sepanjang tempoh berkenaan bagi mengelak kesesakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 5:46pm
    d