mutakhir

Polis sedia bantu negeri tidak ikut PKPB

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

NEGERI-NEGERI yang tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula, esok boleh berbincang bentuk kawalan bakal dilaksanakan mereka dengan kerajaan persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sehingga kini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dikuat kuasakan di seluruh negara, namun pelaksanaannya kini dibuat secara bersyarat.

Katanya, semua perhimpunan awam tidak dibenarkan dan sekatan jalan raya di lokasi zon merah masih dikekalkan tetapi sekatan akan dilonggarkan secara beransur-ansur di zon hijau.

"Di bawah PKPB, kita beri kelonggaran ekonomi kepada rakyat dan dari segi kesihatan, kita sudah berbincang bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati kaedah digunakan Malaysia bagi menangani Covid-19 adalah selaras dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Jika ada negeri mahu kekal perketat (pergerakan), mereka boleh bincang bersama kerajaan persekutuan dan polis akan bantu mereka memperketatkan kawalan," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Padang Besar, hari ini.

Hamzah berkata, orang ramai perlu memahami kaedah PKPB bukan bermakna mereka boleh bergerak bebas, sebaliknya terdapat prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi.

"Kita tidak mahu orang ramai beranggapan mereka sudah bebas kerana masih ada syarat seperti industri yang perlu mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Sebagai pengawal undang-undang, polis akan bantu kerajaan pastikan tidak berlaku pelanggaran SOP serta kilang dan perniagaan yang dibuka patuh pada syarat, manakala rakyat lain diminta terus kekal di rumah," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB mulai esok, namun beberapa kerajaan negeri antaranya Kedah, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor menangguhkan pelaksanaannya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 6:34pm
    d