mutakhir

456,697 bantah PKPB

Oleh Mahaizura Abd Malik

HAMPIR setengah juta rakyat Malaysia merayu kerajaan membatalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal dilaksanakan esok berikutan bimbang dengan ancaman Covid-19 yang masih belum berakhir.

Bantahan itu disuarakan orang ramai yang menandatangani satu petisyen di Change.org dan mereka merayu kerajaan meneruskan PKP demi masa depan negara dan keselamatan rakyat.

Antara alasan bantahan itu mereka menekankan supaya Malaysia mengambil iktibar daripada kesilapan negara lain yang memberi kelonggaran atau membatalkan PKP terlebih awal dan tidak mahu ia berulang di negara ini.

Selain itu, mereka juga tidak mahu petugas barisan hadapan keletihan dan enggan kerajaan tunduk dengan golongan kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kebajikan serta kesihatan pekerja.

Setakat ini, petisyen yang digerakkan Rakyat Malaysia Prihatin dalam platform itu berjaya meraih sokongan 456,697 pelbagai lapisan masyarakat dengan mensasarkan mengumpul 500,000 tandatangan.

Ketika mengulas alasan menandatangani petisyen itu, Mohd Faiz Mohamed menyuarakan kebimbangannya berikutan masih ramai rakyat belum memahami penjarakan sosial.

"Rakyat masih belum faham apa itu 'sosial distancing' terutama kebanyakan pekerja sektor perkilangan membabitkan warga asing. Ini amat membimbangkan.

"Pembukaan sektor swasta perlu dilakukan berperingkat dan menjadikan fasa PKP sebagai panduan dan rujukan dalam kajian untuk kelulusan syarikat swasta beroperasi beransur-ansur bukan secara mendadak.

"Ini akan mengakibatkan pemantauan pihak agensi dan jabatan kerajaan yang selama ini bertungkus lumus memastikan penularan penyakit diputuskan akhirnya tidak dapat mengawal keadaan dan pemantauan sepatutnya," katanya dalam ruangan komen platform berkenaan.

Kebimbangan sama disuarakan Charanjeet Kaur yang berharap kerajaan mempertimbangkan PKP dilanjutkan sehingga selepas Aidilfitri.

"Saya rasa belum selamat lagi hendak keluar (rumah). Saya bimbang ramai orang tidak patuh SOP (prosedur operasi standard). Tolong lanjutkan PKP selepas raya," katanya.

Bagi Chia Hewling pula, dia berpendapat tidak sesuai PKPB dilaksanakan sekarang kerana angka jangkitan masih tinggi.

"Bilangan orang yang dijangkiti Covid-19 masih meningkat lagi. Ini bahaya apabila sudah mula bekerja.

"Jika jumlah pesakit meningkat semula, ia akan menambahkan lagi beban kerajaan dan (pihak) perubatan (KKM)," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan melaksanakan PKPB mulai esok dengan membenarkan beberapa sektor beroperasi semula mengikut SOP ditetapkan.

Namun beberapa negeri termasuk Pahang dan Kelantan menangguhkan seketika PKPB bagi memperhalusi lagi perkara itu manakala Selangor memutuskan melaksanakan PKPB Diubahsuai (PKPBD).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 6:50pm
    d